Kuala Lumpur – “Saya mahu lupakan apa yang berlaku dan kini berfikiran positif untuk membantu badminton negara,” kata jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang memutuskan untuk kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam selepas 11 hari menyerahkan surat peletakan jawatan.
Rashid meletakkan jawatan pada 19 September lalu gara-gara tidak berpuas hati dengan perubahan dibuat oleh Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) Tan Aik Mong terutama dalam sistem kejurulatihan.
“Saya kembali semula selepas mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menasihatkan saya kembali semula … Menteri menyuruh saya kembali semula memandangkan tidak ada masalah lagi (di BAM).
Akui kelemahan
“Sepanjang meletakkan jawatan, saya tidak buat apa-apa … Nak kata saya menyesal pun tidak, tetapi saya mengharapkan keadaan masa depan yang lebih bagus,” katanya.
Ditanya sama ada berasa janggal untuk kembali semula menyertai BAM, Rashid berkata: “Kalau saya tidak masuk semula, ada yang kata saya jual mahal. Nanti saya dikatakan budak jahat pula.”
Apa pun, Rashid mengakui kelemahannya yang masih belum dapat melahirkan seorang lagi jaguh bertaraf dunia seperti Lee Chong Wei dan kerana itu dia mengharapkan jurulatih lain bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membuahkan keputusan lebih baik.
Terdahulu, BAM mengeluarkan kenyataan memaklumkan Rashid menarik balik surat peletakan jawatan dan menerima secara rasmi jurulatih itu untuk kembali menyambung tugas mulai hari ini. - Berita Harian
0 komentar:
Posting Komentar