Rabu, 05 Februari 2014

Bukan sekadar vitamin

 

Nutrisi yang terdapat dalam buah betik menawarkan riboflavin dan bertindak sebagai antioksida. 
BUAH berwarna kuning jingga ketika masak ranum ini sememangnya menjadi pencuci mulut.
Popular kebanyakan rakyat Malaysia. Harganya juga murah. Betik yang menjadi penghias meja makan dengan ukiran menarik menjadi santapan di rumah bahkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Walaupun betik atau kerap juga dipanggil papaya berasal dari Mexico tetapi ia cukup popular di Asia.
Berapa ramai di antara kita yang mengambil tahu apakah nutrisi di sebalik sepotong buah berwarna jingga ini? Ramai yang hanya sekadar tahu betik sebagai pencuci, hakikatnya buah ini juga kaya dengan vitamin yang bagus untuk kesihatan.
Di sebalik kemanisan buah ini, ia menawarkan lebih daripada sekadar vitamin. Buah dengan nama saintifiknya Carica papaya menurut fakta nutrisi, mempunyai kandungan vitamin C dua kali ganda daripada oren. Di samping kelebihan vitamin C, betik juga menawarkan kandungan vitamin A, B1 dan E.
Selain beberapa kumpulan vitamin, betik juga kaya dengan sumber nutrisi kalsium, zat besi, serat, magnesium, fosfurus dan asid amino. Sumber nutrisi ini menyebabkan betik menawarkan sumber riboflavin dan bertindak sebagai antioksida yang baik.
Murah,Tetapi banyak khasiat.
 
Pelindung penyakit jantung
Betik dikatakan membantu menghalang ateroskelrosis dan penyakit jantung. Unggul dengan sumber vitamin C, vitamin A dan vitamin E, kombinasi sumber vitamin ini dikatakan cukup baik sebagai antioksida.
Sumber nutrisi bertindak dengan baik bagi mencegah pengoksidaan kolesterol. Apabila kolesterol dioksidakan ia akan melekat pada dinding saluran darah dan membentuk plak yang berbahaya kerana mendorong penyakit jantung.
Salah satu cara untuk menghalang risiko tinggi pembentukan plak ialah dengan mengambil sumber makanan yang kaya dengan vitamin E dan C.
Selain itu, betik juga adalah sumber yang baik dengan serat yang dikatakan dapat merendahkan kadar kolesterol.
Pencernaan
Betik juga telah membuktikan dalam dunia perubatan bahawa ia antara penawar yang baik bagi masalah pencernaan. Betik mengandungi enzim proteolytic yang penting dalam pencernaan makanan. Bahan yang mempunyai enzim dalam buah betik ini dikenali sebagai papain.
Papain membantu sistem pencernaan dengan memecahkan makanan yang tinggi dengan sumber protein. Malah dalam dunia perubatan, papain sememangnya diproses untuk menjadi ubat bagi dipreskripsikan kepada pesakit yang mempunyai masalah pankreas dan fibrosis.
Bagaimanapun, pakar pemakanan mengakui cara terbaik untuk mendapatkan vitamin, bukan sahaja betik bahkan semua jenis buah-buahan lain ialah dengan menikmati buah itu secara semula jadi bukannya daripada dos tablet.
Tingkatkan imun
Vitamin C dan vitamin A, kedua-duanya diperlukan tubuh untuk menyokong sistem imun tubuh. Dengan beta karotin yang terkandung dalam betik ia menambahkan lagi fungsi positif betik bagi menjauhkan tubuh daripada serangan selesema, demam dan jangkitan penyakit.
Rendahkan kemerosotan makula
Ibu sentiasa mengingatkan kita semasa kecil, makan lobak merah kerana ia baik untuk daya penglihatan. Tetapi nampaknya semakin kita dewasa, rakan baik untuk mata nampaknya perlu berubah kepada buah-buahan termasuklah betik.
Dalam satu data yang disiarkan Archives of Ophtamology menyatakan menikmati tiga hidangan buah-buahan sehari merendahkan risiko kemerosotan makula.
Kemerosotan makula menyumbangkan kepada 36 peratus penyebab utama kehilangan daya penglihatan di kalangan warga emas.
Source Link

0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © warnetter Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger