KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua tidak berpuas hati dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama milik bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan.
Beliau yang ternyata tidak senang hati dengan usaha murni membantu dan memantapkan prestasi akhbar suara Melayu tersebut turut memperlekehkan gesaan tersebut dengan mendakwa pengumuman itu sekadar menunjukkan bahawa akhbar di bawah Kumpulan Utusan tidak lagi berdaya maju.
“Gesaan ini merupakan panggilan terdesak untuk menyelamatkan perkauman dan jurucakap ekstremis,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan Perdana Menteri menggesa semua agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama milik bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan.
Najib membuat gesaan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di sini dengan menyifatkan langkah itu sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan Kumpulan Utusan selama ini.
Beliau menambah, sokongan dalam aspek pengiklanan itu dilihat berupaya meletakkan Kumpulan Utusan di atas landasan yang lebih kukuh.
0 komentar:
Posting Komentar